GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi dan kebenaran dari Arab Saudi untuk mengerjakan umrah.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd (TH Travel) Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, setakat ini Arab Saudi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

"Kebanyakan yang mengatakan Arab Saudi memberi kebenaran jemaah melakukan umrah bermula 1 Ogos dipetik dari sumber kedua dan bukan kenyataan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

"Kita juga melakukan semakan melalui sistem secara atas talian, setakat ini belum lagi dibuka untuk permohonan visa umrah," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, mereka yang mempunyai visa perniagaan atau pelancongan dibenarkan ke Arab Saudi tetapi tidak dibenarkan melakukan umrah.

"Saya difahamkan, tidak semua negara dibenarkan untuk mengerjakan umrah, ada negara tertentu yang berisiko tinggi penularan Covid-19 ditangguhkan terlebih dulu," katanya.

Menurutnya, pihaknya hanya dapat mengetahui penerbangan pertama jemaah umrah dari Malaysia sekiranya sistem atas talian dibuka untuk jemaah memohon visa umrah.

"Kita pantau sistem online (dalam talian) umrah ini dan masih belum dibuka lagi untuk rakyat Malaysia.

"Kalau buka sistem baharu boleh tengok tarikh penerbangan. Kalau kita beritahu tarikh 10 atau 20 hari bulan jemaah boleh terbang, kalau masuk sistem pun tidak boleh, macam mana nak pergi," katanya.

Selain itu, Ahmad Ruzman berkata, selain kebenaran pihak Arab Saudi, semua pihak perlu akur dengan pendirian dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat pertimbangan lain demi menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia.

"Jika sebelah Arab Saudi terima (buat umrah), tetapi kita perlu sentiasa akur pendirian MKN yang mungkin ada pertimbangan lain untuk jaga.

"Sebagai pemain industri memang kita mahu secepat mungkin dibenarkan pergi tetapi kita kena akur dan hormati pertimbangan lain terutama pihak berkuasa mengenai keselamatan dan kesihatan semua pihak," katanya.

Ditanya mengenai jangkaan jemaah Malaysia boleh mengerjakan umrah, Ahmad Ruzman berkata, tiada jangkaan dapat diberikan tetapi hanya tertakluk kepada kebenaran daripada dua negara.

"Kami tiada jangkaan tetapi bersiap sedia untuk pergi bila-bila masa, orang kata 'on' (boleh), kami terus hantar jemaah.

"Setakat ini terdapat 1,500 jemaah di bawah TH Travel bersiap sedia untuk pergi, kita beritahu tarikh dan pengesahan berlepas, jemaah akan terus buat bayaran.

"Kita bersedia, tetapi pemutus akhir adalah MKN," katanya yang mengesahkan perbincangan dengan MKN dan juga Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) berkemungkinan diadakan minggu ini mengenai pelaksanaan umrah.

Ditanya mengenai peningkatan bayaran umrah kemungkinan akan naik, beliau berkata, seperti bayangan diberikan Arab Saudi, perkara itu tidak mustahil.

"Memang kami jangka naik, tidak boleh bohong dan kita boleh kira sendiri apabila sebuah bas hanya boleh isi 50 peratus jemaah, jika bas boleh memuatkan 50 orang, jadi 25 saja boleh naiki.

"Kedua, kita jangka peningkatan kos hotel dan tiada lagi tiga atau empat jemaah berkongsi satu bilik kerana penjarakan fizikal," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) Datuk Seri Razali Mohd Sham menjangkakan jemaah dari Malaysia dibenarkan menunaikan umrah sekitar November atau Disember tahun ini.

"Jika kita lihat kes jangkitan dalam negara masih tinggi, saya tidak rasa dalam masa terdekat jemaah Malaysia dibenarkan menunaikan ibadat ini.

"Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada pertimbangan kerajaan dan MKN, kita sudah bersedia bila-bila masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 3:32 PM