Rohaimi Md Isa
Rohaimi Md Isa
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Trend jenayah di Terengganu menunjukkan penurunan sebanyak 16 peratus atau 785 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia menunjukkan penurunan berbanding tempoh enam bulan pertama tahun lalu yang merekodkan sebanyak 936 kes.

Beliau berkata, penularan pandemik Covid-19 menjadi antara faktor penurunan kes jenayah di negeri ini.

"Terdapat tiga jenayah utama yang menyumbang kepada indeks jenayah di Terengganu iaitu kecurian, pecah rumah dan curi motosikal.

"Daripada jumlah itu, kes kecurian menjadi penyumbang utama apabila sebanyak 294 kes atau 37 peratus direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Ia diikuti kes pecah rumah iaitu sebanyak 251 kes atau 32 peratus. Kes kecurian motosikal pula merekodkan sebanyak 111 kes atau 14 peratus kepada keseluruhan jenayah di Terengganu.

"Bagi kes-kes jenayah lain seperti kesalahan seksual dan samun ia tidak menunjukkan penurunan yang ketara," katanya.

Rohaimi berkata, trend penurunan itu hasil operasi dilakukan pihak polis secara berterusan bagi mengesan aktiviti jenayah di lapangan.

Katanya, trend jenayah masih terkawal kerana kehadiran pasukan pemantau polis yang turun padang sekali gus mengurangkan peluang penjenayah untuk melakukan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 3:04 PM