Zaid Salim


Kuala Terengganu: Seramai 56 individu disyaki terbabit dalam kegiatan penagihan dan pengedaran dadah diberkas menerusi Ops Jihad Dadah 2.0 dalam tempoh 15 jam di seluruh negeri ini.

Operasi bermula 12 tengah malam hingga 3 petang hari ini membabitkan 217 anggota dan pegawai dari kesemua tujuh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kesemua 56 individu terbabit berusia antara 20 hingga 57 tahun diberkas di beberapa lokasi serbuan antaranya rumah, port penagihan dadah dan pemeriksaan rambang.

Katanya, seramai 26 individu diberkas di Kuala Terengganu; Marang (12), Besut (10) dan masing-masing empat di Hulu Terengganu dan Setiu.

"Kita merampas beberapa jenis dadah iaitu syabu seberat 53.69 gram, pil kuda (32.61 gram), heroin (22 gram) dan 3.9 liter air ketum dalam operasi itu," katanya pada majlis Pelancaran Ops Jihad Dadah 2.0 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini.

Katanya, menerusi operasi skala besar itu, setiap daerah perlu mensasarkan tiga lokasi 'panas' setiap bulan dan berhasrat menurunkan kadar indeks jenayah membabitkan dadah akhir tahun ini.

Rohaimi berkata, pihaknya memberi tempoh selama satu bulan bagi setiap daerah menukarkan status 'hot spot' kepada 'white spot'.

"Bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai, pelbagai strategi dirangka termasuk menggempur sarang penagihan serta kerjasama kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk peranan masyarakat," katanya.

Menurutnya, tahun lalu sebanyak 46 peratus indeks jenayah di negeri ini disumbang golongan penagih dadah iaitu membabitkan jenayah kekerasan dan kecurian.

Bagaimanapun, peratusan itu berjaya diturunkan kepada 21 peratus tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 5:27 PM
SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan semasa  serbuan pada Op Jihad Dadah 2.0 di Kampung Pulau Duyong malam tadi. FOTO Ghazali Kori
SEBAHAGIAN penagih dadah yang ditahan semasa serbuan pada Op Jihad Dadah 2.0 di Kampung Pulau Duyong malam tadi. FOTO Ghazali Kori