Ruwaida Md Zain


Klang: Seorang pekerja binaan maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian runtuhan perancah besi struktur pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) berhampiran Hotel Premiere Bukit Tinggi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden runtuhan terbabit pada jam 2.14 petang.

"Siasatan mendapati, ketika kejadian seramai lima pekerja bukan warga negara sedang bekerja di atas struktur binaan terbabit.

"Akibat runtuhan itu, empat mangsa jatuh yang mana tiga tersepit dan kita mendapat bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Andalas dan Pelabuhan Klang untuk melakukan kerja menyelamat.

"Dua mangsa berjaya dikeluarkan dan mendapat kecederaan di muka, seorang mangsa yang tertimbus disahkan meninggal dikeluarkan jam 4.30 petang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba

Shamsul Amar berkata, setakat ini polis masih menutup laluan utama di hadapan Hotel Premier untuk memberikan laluan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk menjalankan siasatan.

"Sekiranya kita mengenalpasti ada salah laku ataupun kecuaian jenayah, polis akan mengambil alih siasatan," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.

"Bagi mangsa yang meninggal dunia, polis masih meneruskan siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya

Katanya, kesemua mangsa yang terbabit bukan warga negara dan berumur lingkungan 30-an.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 6:21 PM