AFP

Beijing: Sepuluh orang maut, manakala seorang lagi mangsa terperangkap selepas bumbung sebuah gimnasium sekolah di timur laut China, runtuh, semalam.

Agensi berita Xinhua melaporkan, runtuhan itu berlaku di Sekolah Menengah di Qiqihar, Wilayah Heilongjiang kira-kira 3 petang semalam.

Berdasarkan laporan penyiaran negeri, CCTV, setakat 5.30 pagi tadi, seramai 14 orang berjaya dikeluarkan dari runtuhan terbabit.

Empat daripada mereka ditarik keluar dengan keadaan sudah tidak bernyawa, manakala enam lagi meninggal dunia selepas mendapatkan rawatan.

Rakaman yang disiarkan CCTV menunjukkan, keseluruhan bumbung gimnasium itu runtuh dan pekerja penyelamat mengutip serpihan runtuhan.

"Operasi mencari dan menyelamat membabitkan hampir 160 anggota bomba dan 39 trak bomba digerakkan dalam misi berkenaan," siar CCTV.

Siasatan awal berhubung insiden runtuhan itu mendapat, pekerja binaan meletakkan 'perlite' iaitu sejenis kaca gunung berapi di atas bumbung, lapor Xinhua.

Hujan lebat kemudian menyebabkan bahan kaca itu mengembang sebelum menyebabkan bumbung runtuh.

"Mereka yang bertanggungjawab ke atas syarikat pembinaan itu ditahan polis," lapor agensi itu.

Kemalangan industri adalah perkara biasa di China disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar dan penguatkuasaan lemah.

Salah satu kemalangan paling teruk berlaku pada 2015 di Tianjin, selepas letupan besar di sebuah gudang kimia mengorbankan sekurang-kurangnya 165 orang.

PENYELAMAT membantu mangsa. FOTO Weibo/ People's Daily
PENYELAMAT membantu mangsa. FOTO Weibo/ People's Daily

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 10:34 AM