KEADAAN treler yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat (Laguna Park) dari arah Westports. FOTO IHSAN IPD KLANG SELATAN
KEADAAN treler yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat (Laguna Park) dari arah Westports. FOTO IHSAN IPD KLANG SELATAN
Norzamira Che Noh

Foto Ihsan IPD Klang Selatan

SEORANG pemandu maut dalam kemalangan membabitkan lima treler di Jalan Pelabuhan Barat (Laguna Park) dari arah Westports menghala ke Pelabuhan Klang tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, Mohamad Taufiq Abdullah 32, berasal dari Johor Bharu, maut di tempat kejadian, manakala empat lagi pemandu treler tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati empat treler sedang berhenti akibat kesesakan susulan kerja penurapan jalan.

"Secara tiba-tiba, mangsa yang datang dari arah belakang lorong sebelah kanan merempuh sebuah treler di lorong kanan dan sebuah lagi di lorong kiri.

"Rempuhan itu menyebabkan dua lagi treler yang berada di lorong kanan turut dilanggar.

"Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 7:04 PM