POLIS memeriksa motosikal dalam Operasi Bersepadu OP Tutup  di Jalan FAC Matang. FOTO Norsyazwani Nasri.
POLIS memeriksa motosikal dalam Operasi Bersepadu OP Tutup di Jalan FAC Matang. FOTO Norsyazwani Nasri.
Norsyazwani Nasri


Kuching: Dua remaja lelaki sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menunggang motosikal melawan arus ketika cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya Operasi Bersepadu Op Tutup di Jalan FAC Matang, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kedua-dua mereka berusia 16 dan 21 tahun itu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan merbahaya.

"Motosikal milik kedua-dua remaja berkenaan turut disita.

"Ujian air kencing turut dilakukan terhadap dua remaja serta seorang lagi individu yang ditahan di SJR sama, dan keputusannya negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam operasi antara 3 petang sehingga 8 malam itu, 48 motosikal dan 52 individu diperiksa.

Katanya, 54 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak patuhi lalu lintas, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubahsuai ekzos , tiada lesen, lesen kenderaan tamat tempoh, tiada cermin sisi, tidak patuhi lampu isyarat dan gagal tunjuk lesen memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 12:19 PM