TANGKAP layar video tular menunjukkan sebahagian penunggang yang diarah menolak motosikal selepas ditahan kerana buat bising.
TANGKAP layar video tular menunjukkan sebahagian penunggang yang diarah menolak motosikal selepas ditahan kerana buat bising.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Seramai 47 penunggang motosikal berumur lingkungan 15 sehingga 30 tahun ditahan kerana disyaki membuat bising di Dataran Penggaram di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam operasi bermula 5 petang hingga 7 malam itu, 79 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain 10 motosikal disita.

Katanya, tiga remaja lain ditangkap kerana melakukan pembakaran suar asap selain seorang lagi ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan merbahaya.

"Hasil pemantauan selama dua jam, tindakan mengepung dilakukan dan 47 orang penunggang motosikal diiring ke Balai Trafik Batu Pahat sejauh 200 meter untuk pemeriksaan lanjut.

"Mereka ditahan di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 atas kesalahan tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

"Tiga remaja disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Kesalahan Kecil/ Seksyen 8 Akta Bahan Letupan kerana disyaki melakukan pembakaran suar asap yang boleh mendatangkan bahaya dan mengganggu ketenteraman awam.

"Seorang lagi disiasat mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana melakukan aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata, operasi dilaksana 12 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Batu Pahat susulan aduan awam.

Ismail meminta ibu bapa memantau anak masing-masing bagi mengelak mereka terbabit aktiviti tidak sihat yang melanggar peraturan dan undang-undang sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 8:39 AM