Sebahagian kenderaan yang terbabit dalam kebakaran di bengkel berkenaan. FOTO IHSAN BOMBA SELANGOR
Sebahagian kenderaan yang terbabit dalam kebakaran di bengkel berkenaan. FOTO IHSAN BOMBA SELANGOR
Ruwaida Md Zain


Klang: Lapan kenderaan yang diletakkan di pekarangan sebuah bengkel di Jalan Sungai Jati di sini, hangus dalam kebakaran hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada jam 5.45 pagi.

"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas segera ke lokasi dan tiba enam minit kemudian.

"Sampai di lokasi, bomba membuat 'size-up' dan mendapati kebakaran membabitkan tiga van dan lima kereta yang diletakkan di hadapan bengkel berkenaan.

"Siasatan mendapati, hanya lapan kenderaan berkenaan sahaja terbakar 100 peratus, bengkel langsung tidak terbakar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hafisham berkata, pasukan mengambil masa satu jam untuk melakukan kerja memadam kebakaran itu menggunakan dua aliran 'hose reel' dan satu aliran air terbuka sehingga padam sepenuhnya.

"Semasa pemilik bengkel tiba di lokasi, api sudah dipadamkan sepenuhnya.

"Kereta dan van tiada cermin hadapan dan tepi serta tiada kusyen (tempat duduk) selain tiada bateri seperti dimaklumkan pemilik bengkel. Dia juga memaklumkan tiada tuntutan dibuat terhadap kenderaan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kebakaran itu pada 6.11 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 2:29 PM