Anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan pemeriksaan Op Patuh di premis sekitar Kuala Lumpur. FOTO IHSAN DBKL
Anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan pemeriksaan Op Patuh di premis sekitar Kuala Lumpur. FOTO IHSAN DBKL
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 11 premis diarah tutup serta-merta dengan 16 kompaun dikeluarkan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Op Patuh yang diadakan sejak 2 Julai lalu hingga semalam.

Operasi oleh Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dilakukan terhadap premis perniagaan komersial di 11 kawasan Parlimen Kuala Lumpur.

DBKL menerusi kenyataannya di Facebook memaklumkan sebanyak 359 premis diperiksa membabitkan aktiviti perniagaan restoran, kedai runcit, pasar raya, kedai barangan am dan lain-lain yang beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Hasil pemeriksaan berkenaan, 11 premis dikenakan tindakan penutupan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Sebanyak 38 notis kompaun diberikan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK), Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Hotel Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2003," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, DBKL turut mengeluarkan 16 kompaun menerusi Akta 342 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

DBKL akan meneruskan Op Patuh berkenaan dan meminta orang ramai memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang aduan di http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 2:37 PM