Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Seramai 49 lelaki yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di luar perkarangan Surau Taman Pelangi, semalam, direman bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Hasliza Razak.

Hasliza membenarkan kesemua suspek yang terdiri 48 warga Bangladesh berusia 20 hingga 43 tahun direman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 Julai.

Manakala, seorang warga tempatan berusia 64 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 23 Julai bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

ANTARA 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan dibawa untuk perintah tahanan reman di Mahkamah Bukit Mertajam. FOTO Danial Saad
ANTARA 48 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan dibawa untuk perintah tahanan reman di Mahkamah Bukit Mertajam. FOTO Danial Saad

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu,kesemua suspek yang berpakaian lokap dibawa ke mahkamah , di sini pada 10.10 pagi.

Polis semalam melancarkan gerakan mengesan kira-kira 200 warga asing selepas dipercayai melanggar SOP dengan menunaikan solat di luar perkarangan surau hingga ia tular di media sosial.

Dalam video berkenaan mendapati, kesemua individu terbabit solat dalam keadaan penjarakan fizikal, namun ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 11:52 AM