TANGKAP layar video tular ratusan individu dipercayai warga asing menunaikan solat Aidiladha di luar perkarangan surau Taman Pelangi, Juru pada Selasa lalu. FOTO Arkib NSTP
TANGKAP layar video tular ratusan individu dipercayai warga asing menunaikan solat Aidiladha di luar perkarangan surau Taman Pelangi, Juru pada Selasa lalu. FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Kerajaan negeri sudah menerima laporan lisan berhubung insiden sekumpulan individu menunaikan solat sunat Aidiladha di luar perkarangan surau Taman Pelangi, Juru, di sini, Selasa lalu yang turut tular di media sosial.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, dalam laporan diterima sehari selepas kejadian memaklumkan pengurusan surau sudah memberi nasihat kepada jemaah terbabit dan apa yang berlaku adalah di luar kawalan.

"Dari segi prosedur operasi standard (SOP), pengurusan surau yang mengadakan solat (sunat Aidiladha) pada ketika itu patuh kepada arahan yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, tidak sangka jemaah yang tidak dapat masuk bertindak menghamparkan sejadah di luar dan menunaikan solat. Ia berlaku di luar kawalan dan ketika itu jemaah dalam surau sedang sembahyang.

"Sedangkan pihak surau sudah menasihati mereka dan meminta kesemua jemaah yang tidak dapat masuk untuk balik ke rumah masing-masing," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan isu berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Zakiyuddin mengadakan tinjauan ke Program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) di Dewan Serbaguna Bandar Putra Bertam, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, pihaknya menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis.

"Kita dapat tahu polis kini sedang mengenal pasti, mencari dan menyiasat jemaah yang terbabit atas kesalahan pelanggaran SOP ini. Maka, kita serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya

Selasa lalu, tular video berdurasi 22 saat memaparkan individu menunaikan solat sunat Aidiladha di luar perkarangan surau itu yang dirakamkan orang awam ketika melalui kawasan terbabit.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku secara spontan selepas mereka tidak dibenarkan solat di dalam surau memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya kepada 100 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 3:49 PM