RAKAMAN tular warga asing ingkar SOP solat Aidiladha di perkarangan sebuah surau di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. FOTO tular
RAKAMAN tular warga asing ingkar SOP solat Aidiladha di perkarangan sebuah surau di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. FOTO tular
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain memberikan laporan dan penjelasan terperinci berhubung penugasan anggotanya yang dipertanggungjawab untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa perayaan Aidiladha.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, laporan dan penjelasan itu perlu diberikan dalam kadar segera berikutan penularan video pelanggaran SOP ketika solat sunat Aidiladha di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pagi tadi.

"KDN memberikan jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit menganjurkan majlis berkenaan.

"Selain itu KDN turut mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengambil tindakan pengusiran di bawah Akta Imigresen 1958/63 sekiranya ia membabitkan pembabitan warga asing.

"Sementara siasatan dimuktamadkan, KDN menyeru orang awam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Mohd Shuhaily dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati warga asing berkenaan berbuat demikian selepas mereka tidak dibenarkan solat di dalam surau memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya 100 orang.

Katanya, surau berkenaan dibanjiri jemaah untuk datang menunaikan solat sunat Aidiladha namun hanya 100 orang saja yang dibenarkan masuk bagi mematuhi SOP ditetapkan.

Terdahulu, tular video berdurasi 22 saat memaparkan ratusan warga asing yang menunaikan solat sunat Aidiladha di jalan raya di luar perkarangan surau berkenaan yang dirakamkan orang awam yang melalui kawasan terbabit.

Dalam video berkenaan mendapati kesemua warga asing terbabit solat dalam keadaan penjarakan fizikal namun ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan negara kini sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Berita berkaitan

200 warga asing ingkar SOP solat Aidiladha luar perkarangan surau [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 6:34 PM