GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seorang lelaki bertindak memaki hamun dan memarahi penjual nasi lemak selepas ditegur tidak memakai pelitup muka, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, kejadian berlaku 10.30 pagi di sebuah gerai nasi lemak Jalan Desa Bakti, di sini.

"Lelaki itu datang ke gerai pengadu memaki hamun dan memarahi ibu pengadu serta seorang pelanggan lain apabila ditegur tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka.

"Kejadian dirakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit dan berkongsi rakaman itu kepada pengadu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakaman berdurasi 29 saat itu turut tular di media sosial.

Berikutan kejadian itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021.

Basri menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video berkenaan kerana dibimbangi mewujudkan kegusaran masyarakat.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil memberi keterangan dengan menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 9:34 PM