SUSPEK yang ditahan selepas dipercayai menceroboh Pangkalan TUDM di Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam, untuk mencuri kabel elektrik dan tembaga.
SUSPEK yang ditahan selepas dipercayai menceroboh Pangkalan TUDM di Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam, untuk mencuri kabel elektrik dan tembaga.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dua lelaki menceroboh kawasan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi di sini, dipercayai untuk mencuri tembaga dan kabel elektrik ditahan polis, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat seorang pengawal pangkalan udara itu yang berusia 31 tahun berhubung pencerobohan kawasan berkenaan.

"Kejadian itu disedari berlaku pada 9.15 pagi semalam, pengadu yang sedang bertugas bersama rakannya menyedari kehadiran dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan keluarga di kawasan itu.

"Pengadu cuba mengejar kedua-dua suspek berkenaan, namun tidak berjaya.

"Pemeriksaan lanjut di luar tembok lokasi kejadian ditemukan motosikal Honda EX5 dan Honda Future yang disyaki digunakan suspek.

"Turut ditemui di lokasi berkenaan adalah dua bekas berisi tembaga dan kabel elektrik yang disyaki diambil dari dalam kawasan pangkalan udara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Basri berkata, pihaknya berjaya menahan dua suspek masing-masing berusia 19 hingga 35 tahun dalam serbuan di sekitar ibu kota semalam.

"Kami turut merampas dua telefon bimbit pelbagai jenama dan peralatan yang digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah itu.

"Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka akan dibawa ke Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu dikehendaki hadir ke balai polis berhampiran untuk diambil keterangan.

"Sebarang perlanggaran yang menyalahi peruntukkan undang-undang boleh dikenakan tindakan.

"Maklumat lain berkaitan jenayah di daerah ini boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 12:23 PM