GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Lelaki yang dikatakan memaki hamun dan memarahi penjual nasi lemak selepas ditegur tidak memakai pelitup muka ditahan polis, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya yang terletak berdekatan gerai nasi lemak berkenaan di Taman Desa, di sini.

"Polis menahan lelaki itu kira-kira 8 malam, susulan laporan polis dibuat pengadu dan video yang tular di media sosial.

"Dia yang juga pemilik gimnasium direman dua hari bermula hari ini sehingga esok bagi membantu siasatan lanjut," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021.

Dalam kejadian 10.30 pagi semalam, lelaki itu yang juga pelanggan gerai nasi lemak dikatakan memarahi dan memaki hamun peniaga serta seorang lagi pelanggan apabila ditegur tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka.

Kejadian dirakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit dan berkongsi rakaman itu kepada pengadu.

Rakaman berdurasi 29 saat itu turut tular di media sosial.

Berita berkaitan

Berang ditegur tak pakai pelitup muka, lelaki memarahi penjual nasi lemak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 2:15 PM