Lelaki, 26, direman polis selepas disyaki menendang bapanya sehingga patah tulang rusuk dalam kejadian pergaduhan di rumah mereka di Pantai Dalam, Brickfields. FOTO IHSAN POLIS
Lelaki, 26, direman polis selepas disyaki menendang bapanya sehingga patah tulang rusuk dalam kejadian pergaduhan di rumah mereka di Pantai Dalam, Brickfields. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Berang selepas ditegur kerana menconteng dinding rumah, seorang lelaki menendang bapanya sendiri sehingga patah tulang rusuk dalam pergaduhan di rumah mereka di Pantai Dalam di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni berkata, polis menerima laporan kejadian daripada mangsa berusia 68 tahun pada semalam.

Menurutnya, mangsa mendakwa dipukul oleh anak bongsunya berusia 26 tahun ketika di rumahnya pada 3 petang Rabu lalu.

"Kejadian berpunca apabila mangsa menegur anaknya itu menconteng dinding rumahnya menggunakan 'marker'.

"Tidak berpuas hati dengan teguran itu, suspek memarahi dan menendang rusuk kanan mangsa.

"Pergaduhan itu menyebabkan mangsa mengalami sakit di badan dan leher," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Basri berkata, pengadu kemudiannya pulang ke rumah isterinya di Seremban dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban sebelum membuat laporan polis semalam.

Menurutnya, pakar perubatan mengesahkan mangsa mengalami patah satu tulang rusuk kanan dan polis akan memohon laporan kesihatan itu daripada pegawai perubatan untuk melengkapkan siasatan.

Susulan laporan itu, beliau berkata, polis menahan suspek pada 9.20 malam tadi dan kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman hari ini.

"Polis mendapat perintah reman suspek sehingga esok untuk siasatan lanjut.

"Suspek ketika soal siasat awal mengaku menendang bapanya kerana mahu mempertahankan diri daripada dipukul," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 6:15 PM