TNB memperuntukkan sebanyak RM15.9 juta bagi membantu kira-kira 50,000 pelajar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya.FOTO Arkib NSTP
TNB memperuntukkan sebanyak RM15.9 juta bagi membantu kira-kira 50,000 pelajar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya.FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan sebanyak RM15.9 juta bagi membantu kira-kira 50,000 pelajar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya.

Bantuan itu merangkumi penajaan kemudahan pembelajaran atas talian, kelengkapan asas persekolahan murid dan aktiviti seperti bengkel, tuisyen serta persiapan peperiksaan tahun ini.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, TNB sudah menaja dan melaksanakan pelbagai program di peringkat sekolah sejak 2013 bagi memupuk generasi masa depan dan meringankan beban keluarga B40 terutama di kawasan luar bandar.

"Bermula dengan Program Sekolah PINTAR yang diinspirasikan Khazanah Nasional, kami dapat mengasah pencapaian akademik, bakat dan kecemerlangan menyeluruh lebih 4,088 pelajar di sekolah terpinggir.

"Sebanyak 11 sekolah luar bandar di seluruh negara terpilih untuk program yang sama tahun ini dengan bantuan RM315,000 untuk aktiviti antaranya kem motivasi, kelas tuisyen, seminar dan bengkel peperiksaan.

"Tajaan kami memberi peluang kepada murid-murid ini meningkat pembangunan keperibadian dan prestasi akademik mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi tempoh 2021 hingga 2023, aktiviti yang dijalankan di kesemua 11 sekolah angkat PINTAR ini membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM945,000.

Di bawah Program Sekolah Amanah (Trust School) pula, TNB membelanjakan RM32 juta selama lima tahun atau RM6.4 juta setahun untuk program transformasi pendidikan di lapan sekolah terpilih di Perak, Terengganu, Selangor dan Kelantan.

Usaha sama TNB dan Kementerian Pendidikan serta Yayasan Amir, di bawah Khazanah Nasional ini memberi manfaat kepada 6,991 pelajar pinggir bandar.

Mahdzir berkata, bagi membantu murid dari keluarga miskin bandar di sekitar Ibu pejabat TNB di Bangsar pula, TNB mengambil inisiatif memberikan elaun bernilai RM1,500 setahun untuk setiap pelajar sejak 2018.

"Sehingga 2020, sebanyak RM513,000 bantuan ini sudah dimanfaat 150 pelajar dan elaun tahunan ini diberikan untuk tempoh tiga tahun sejak mereka di tingkatan tiga lagi.

"Seramai 150 pelajar akan menerima elaun ini dengan peruntukan berjumlah RM675,000 dalam tempoh tiga tahun ini bermula 2021," katanya.

Beliau berkata, TNB juga menyokong usaha merapatkan ruang digital menerusi penyediaan laptop, tablet dan talian data untuk 150,000 pelajar di bawah tajaan Tabung Cerdik (CERDIK) anjuran Yayasan Hasanah dengan TNB adalah sebahagian penaja utama dengan sumbangan bernilai RM5 juta kepada 3,165 pelajar daripada RM150 juta jumlah tajaan keseluruhan kepada 150,000 pelajar.

Sementara itu, bagi program Ceria Ke Sekolah pula, seramai 30,000 murid keluarga B40 sudah dan bakal menerima sumbangan kelengkapan persekolahan dengan peruntukan RM3 juta tahun ini.

"Bagi tahun ini, kami telah memperuntukkan RM395,000 untuk menyumbangkan cermin mata percuma kepada lebih 1,000 murid dan pelajar di bawah Program Better Brighter Vision (BBV).

"Program ini membolehkan 1,324 pelajar dari keluarga B40 mengikuti pelajaran dengan lebih baik sejak diperkenalkan pada tahun 2019.

"Insya Allah, kami akan teruskan lagi BBV tahun ini sebaik sesi persekolahan dibuka semula. Untuk tahun ini juga, TNB turut memberikan pelbagai bentuk tajaan pendidikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada lebih 96 sekolah di seluruh semenanjung bagi menjayakan pelbagai aktiviti sekolah dengan nilai sumbangan RM536,000 sehingga Jun 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 2:15 PM