HASAN (tengah) bersama Baharin (tiga kiri) dan Ibrahim (tiga kanan) bergambar bersama sebahagian penerima Dermasiswa MyBF. FOTO ihsan TNB
HASAN (tengah) bersama Baharin (tiga kiri) dan Ibrahim (tiga kanan) bergambar bersama sebahagian penerima Dermasiswa MyBF. FOTO ihsan TNB
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 1,760 pelajar daripada keluarga B40 bertuah apabila mendapat peluang meneruskan pendidikan di institusi pengajian menerusi program Dermasiswa My Brighter Future (MyBF).

Program tajaan syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memasuki tahun keempat itu diteruskan meskipun berdepan suasana pandemik Covid-19 dalam menyokong usaha meningkatkan kemahiran modal insan.

TNB memperuntukkan RM49 juta bagi membiayai pengajian pelajar MyBF pengambilan 2021 di lebih 45 institusi pengajian seluruh negara dalam bidang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, lebih 6,800 pelajar golongan B40 menikmati pembiayaan pengajian meliputi yuran, penginapan, elaun sara hidup dan sebagainya, sejak MyBF diperkenalkan pada 2018.

Selain itu, katanya, TNB melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN) yang ditubuhkan pada 1993 turut meneruskan komitmen pemberian biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada pelajar pengajian tinggi.

Beliau berkata, sehingga kini lebih 20,000 pelajar menerima manfaat daripada seluruh program bantuan pendidikan dengan anggaran tajaan melebihi RM1.3 bilion.

"Sebagai warga korporat prihatin, TNB mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pendidikan. Penawaran Dermasiswa MyBF adalah strategi serampang dua mata iaitu mencipta akses pendidikan tinggi kepada golongan yang tidak berkemampuan sekali gus membasmi masalah kemiskinan.

"Membangunkan modal insan negara melalui penyediaan peluang pendidikan adalah satu daripada inisiatif tanggungjawab korporat TNB, selain program berkaitan sosio-ekonomi, alam sekitar dan sukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, beliau menyempurnakan Dermasiswa MyBF kepada pelajar bagi sesi pengambilan 2021 di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Ibu Pejabat TNB di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din serta Pengarah YTN, Datuk Ir Dr Ibrahim Hussein.

Hasan berkata, Dermasiswa MyBF dikhaskan kepada pelajar daripada keluarga B40 tanpa sebarang ikatan atau bayaran balik.

Beliau berkata, pemilihan pelajar dibuat berdasarkan pangkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA Unit Pusat Universiti (UPU) dan Sistem e-Kasih, malah mereka tidak perlu membuat permohonan atau melalui proses temuduga.

"Surat Tawaran MyBF dikeluarkan bersekali dengan Surat Tawaran ke IPTA oleh institusi masing-masing bagi memastikan isu kewangan bukan masalah utama pelajar untuk memulakan pengajian.

"Inisiatif TNB ini diharap bukan saja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan rendah bagi menampung kos pengajian, malah kemudiannya membolehkan anak mereka membangunkan kerjaya lebih baik demi masa depan diri dan keluarga serta masyarakat," katanya.

Mengenai pencapaian pelajar MyBF, beliau berkata, sejumlah 33.4 peratus pelajarnya berjaya mendapat CGPA 3.50 ke atas pada semester 2 tahun pengajian 2020/2021 dan analisa pencapaian akademik mendapati purata keseluruhan pelajar berjaya mencapai tahap CGPA 3.00 ke atas adalah melebihi 75 peratus.

Hasan berkata, MyBF bukan saja memberi bantuan dalam bentuk kewangan tetapi juga membangunkan kompetensi pelajar bersama nilai dan budaya murni yang mementingkan kesejahteraan sejagat termasuk dalam aspek penjagaan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 6:55 PM