ANGGOTA PGA menjalankan pemantauan di lokasi operasi pemusnahan pokok Musang King. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANGGOTA PGA menjalankan pemantauan di lokasi operasi pemusnahan pokok Musang King. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Bentong: Operasi memusnahkan pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam, Raub berjalan lancar dan terkawal tanpa provokasi mana-mana pihak.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, keadaan di Raub tenteram dan keselamatan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguat Kuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan tugas adalah terjamin.

"Saya sendiri turun ke Raub untuk melihat keadaan sekitar bandar, mahkamah dan kawasan operasi yang berada dalam keadaan baik dan tenteram serta penduduk menjalani kehidupan seperti biasa.

"Dengan kawalan daripada polis di seluruh kawasan berkenaan, keselamatan petugas terjamin dan keadaan adalah tenang dan tenteram," katanya pada Program Ops Bantu di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.

Operasi Pamah untuk memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan seluas 101 hektar dimulakan pada 3 Julai sehingga 2 Ogos depan.

Bagaimanapun operasi pada hari kedua dan ketiga terganggu selepas provokasi oleh sekumpulan individu dipercayai pekebun durian sebelum Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan bagi mengawal operasi.

Mohd Yusri berkata, kira-kira 60 anggota PGA melakukan pemantauan bersama polis termasuk di dua Sekatan Jalan Raya (SJR) di laluan masuk utama ke kawasan operasi berkenaan.

"Jangan cuba menimbulkan kekecohan kerana pihak polis sentiasa bersiap sedia mengambil tindakan tegas," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, sehingga semalam lebih 52 hektar kawasan hutan simpan yang ditanam durian dimusnahkan.

"Kita ingin memastikan Operasi Pamah ini dapat diselesaikan lebih awal daripada yang dirancang sebelum kerja menanam semula pokok hutan dilakukan.

"Hampir semua kakitangan pejabat hutan daerah turut sama membantu bagi melancarkan operasi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 10:45 AM