MUHAMMAD Amir Asyraf Mohd Sabri.
MUHAMMAD Amir Asyraf Mohd Sabri.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) meminta supaya tempoh pembelajaran penuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dipanjangkan daripada 14 minggu kepada 15 atau 16 minggu pada semester akan datang, sekiranya pembelajaran dan pengajaran masih perlu dijalankan secara dalam talian.

Presidennya Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengarahkan semua IPT memanjangkan tempoh berkenaan, selain mengkaji semula kaedah pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian susulan kebimbangan terhadap kesihatan mental penuntut.

Beliau memohon KPT dan IPT supaya memberi perhatian dan menitik berat kesihatan mental penuntut kerana sudah lebih setahun mereka menghadapi tekanan dalam mengharungi sesi pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.

"MPPK juga berharap agar IPT yang memberi tempoh bertenang dapat memastikan tempoh itu benar-benar merupakan tempoh bertenang dan perlu memastikan tiada pensyarah yang masih meminta pelajarnya menghantar tugasan atau mengadakan peperiksaan dalam tempoh berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, MPPK mengucapkan takziah kepada keluarga dua pelajar masing-masing dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah dan UiTM Pahang yang meninggal dunia, baru-baru ini.

Jabatan Komunikasi Korporat UiTM dalam kenyataan semalam menyebut pihak pengurusan UiTM amat prihatin terhadap isu kematian Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22, pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Cawangan Kedah serta Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21, pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:21 PM