Majlis Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Sesi 2019/2020 di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Majlis Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Sesi 2019/2020 di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Noorazura Abdul Rahman


Sintok: Universiti Utara Malaysia (UUM) menangguhkan pendaftaran kemasukan penuntut baharu sesi 2020/2021 secara fizikal yang dijadualkan pada 5 dan 6 Oktober kepada 23 serta 24 Oktober depan.

Bagaimanapun, proses minggu suai kenal akan berjalan seperti biasa bermula 7 Oktober sehingga 8 Oktober secara dalam talian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Akademik) UUM, Profesor Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, sesi pendaftaran kemasukan penuntut lama secara fizikal turut ditangguhkan kepada 31 Oktober depan berbanding tarikh asal dijadualkan pada 11 Oktober ini.

Katanya, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) yang akan bermula pada 11 Oktober depan bagi sesi berkenaan akan dilangsungkan secara dalam talian.

"Kesemua keputusan yang dibuat pengurusan UUM sudah diperhalusi sebelum mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

"Pengurusan universiti turut akan memantau perkembangan semasa situasi penularan Covid-19 di Kedah dan sentiasa cakna dengan keselamatan warga UUM," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sebarang perubahan baharu atau pekeliling pengurusan universiti akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pada 21 Ogos lalu, UUM menyatakan kesediaan untuk akur terhadap sebarang arahan yang akan dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terutama berkaitan penangguhan pendaftaran penuntut baharu yang dijadualkan pada Oktober depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 5:54 PM