GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kebenaran untuk penuntut kembali ke kampus diyakini dapat memudahkan kumpulan yang menghadapi kekangan meneruskan pengajian secara dalam talian.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tepat khususnya buat penuntut di luar bandar yang terhad akses internet.

Menurutnya, ia membolehkan suasana pengajian menjadi lebih kondusif di kampus dan belajar secara hibrid.

"KPT juga membenarkan penuntut yang perlu meneruskan pengajian di makmal dan bengkel untuk pulang ke kampus.

"Ini membolehkan pengajian tidak tergendala lebih lama kerana ada subjek yang memerlukan penuntut menjalankan kajian dan kerja teknikal," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Amir berkata, inisiatif KPT dalam membantu penuntut mendapatkan kemudahan dalam pengajian seperti komputer riba juga banyak meringankan beban khususnya mereka dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah.

Katanya, jika hanya golongan berkeperluan saja dibenarkan pulang ia boleh mengatasi masalah kesesakan di kampus.

"Penuntut juga diingatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjalani kuarantin kendiri bagi mereka dari Sabah dan Sarawak sebelum memulakan kembali pengajian.

"Diharap lebih banyak inisiatif baharu dapat diperhalusi agar proses pengajian atas talian menjadi lebih efisien," katanya.

Enam kategori penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara fizikal dan dalam talian bermula 1 Mac depan.

Dalam kenyataan media, KPT memaklumkan kumpulan itu adalah adalah penuntut bagi program peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan aktiviti praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 2:51 PM