LOKASI terakhir Automatic Identification System (AIS) kapal Kargo MV Dai Cat 06 dikesan pada 1 Januari 2023 di 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor. FOTO Ihsan APMM
LOKASI terakhir Automatic Identification System (AIS) kapal Kargo MV Dai Cat 06 dikesan pada 1 Januari 2023 di 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor. FOTO Ihsan APMM
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Identiti lima kru kapal kargo MV Dai Cat 06 membabitkan tiga warga tempatan serta dua warga Indonesia didedahkan hari ini, oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, dan berasal dari Indonesia.

Jurutera kanan kapal juga adalah warga Indonesia iaitu Damai Papane Ole, 57, manakala Ketua Operasi kapal ialah Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, yang juga warga tempatan.

"Dua lagi warga tempatan ialah Mohammad Sudeh Sudin, berusia 20 tahun dan Derrent Littor, berumur 22 tahun. Kedua-duanya warga tempatan.

"Kami masih belum menerima sebarang maklumat berkaitan perkembangan kru mahupun kapal yang hilang sejak 1 Januari lalu," katanya.

Menurut beliau, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Republik Indonesia masih berusaha mengesan kapal berkenaan di barat laut Pemangkat, Indonesia.

"Berdasarkan maklumat diterima Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru daripada Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya, kapal berkenaan masih belum dikesan," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kapal kargo berkenaan yang membawa muatan besi paip dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak hilang 1 Januari lalu.

Kehilangan kapal diketahui selepas ejen kapal membuat laporan polis kelmarin.

MV Dai Cat 06 keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching pada 31 Disember.

Lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi 'Automatic Identification System' (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan Johor.

Kapal berukuran 52 meter itu membawa 527 batang besi bernilai RM726,205.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 12:48 PM