Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Sebuah kapal kargo dikendalikan lima kru yang membawa muatan besi paip dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang semalam berkaitan kehilangan kapal kargo MV Dai Cat 06 yang berdaftar di Malaysia.

Beliau berkata, maklumat diterima susulan laporan polis yang dibuat jam 12.11 tengah hari semalam oleh ejen kapal.

Menurutnya, laporan mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti di Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.

Katanya, lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

"Maklumat terkini yang diperolehi pada 10.42 malam semalam, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.

"Isyarat kecemasan ini dikesan oleh Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat APMM Johor di Johor Bahru di sini, hari ini.

KAPAL kargo MV Dai Cat 06 dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu. FOTO Mary Victoria Dass
KAPAL kargo MV Dai Cat 06 dilaporkan hilang sejak 10 hari lalu. FOTO Mary Victoria Dass

Nurul Hizam berkata, Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

Beliau berkata, Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan kapal kargo berkenaan.

Menurutnya, MRSC Johor Bahru turut menghantar IMB Piracy Alert dan Navigational Telex (NAVTEX) bagi memohon bantuan komuniti Maritim sekiranya memiliki maklumat berkaitan kehilangan kapal berukuran 52 meter itu.

Ketika diminta mengulas sama ada kejadian berkenaan terdapat unsur serangan lanun mahupun masalah teknikal kapal berikutan cuaca buruk, Nurul Hizam menyatakan tidak mahu membuat sebarang andaian.

"Kita tidak mahu membuat sebarang andaian apa yang terjadi tanpa mendapat gambaran atau maklumat jelas.

"Kita terus berkomunikasi dengan Indonesia dan meminta bantuan untuk mengesan kapal berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 1:33 PM