UBAT batuk yang dirampas. FOTO Ihsan PGA7
UBAT batuk yang dirampas. FOTO Ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


KEGIATAN dua lelaki menjual ubat batuk di sekitar Kampung Kubang Puyoh, Gual Sitok, Rantau Panjang akhirnya tumpas selepas ditahan oleh Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7).

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata hasil maklumat dan risikan, mereka berjaya merampas 145 botol ubat batuk bernilai RM2,175 di dua rumah berasingan di kampung itu, semalam.

Menurutnya, ketika serbuan pada 5.30 petang itu, dua lelaki berusia 25 dan 29 tahun ditahan.

"Mereka ditahan di rumah suspek pertama. Hasil pemeriksaan di seluruh kediaman itu anggota menemui lima botol ubat batuk di bahagian tingkat atas rumah sebelum terus menyoal siasat kedua-dua suspek.

"Hasil soal siasat, suspek kedua mengaku turut menyimpan bekalan ubat terbabit di rumahnya. Anggota kemudian ke rumah suspek untuk membuat pemeriksaan sebelum menemui 70 botol ubat batuk di bawah tangga," katanya.

Azhari berkata, anggota menemui 70 botol ubat lagi di bawah katil milik suspek.

Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Dalam perkembangan lain, PGA7 turut merampas 833 paket minyak masak dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Thailand, bernilai RM2,082.50 di Kampung Lubok Stol, semalam.

Azhari berkata, dalam serbuan 9.45 itu pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun selain turut merampas wang tunai RM4,146.

"Kesemua minyak masak ini disimpan di dalam van di bawah garaj rumah suspek dan dipercayai menjadi tempat transit sebelum dibawa seludup melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

"Suspek dan kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Lubok Stol untuk tindakan dan siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 11:29 AM