CECAIR vape yang dirampas PGA7 di pangkalan haram Ibrahim Pencen, di sini, jam 11.16 malam tadi. FOTO ihsan PGA7
CECAIR vape yang dirampas PGA7 di pangkalan haram Ibrahim Pencen, di sini, jam 11.16 malam tadi. FOTO ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 413 botol perisa vape bernilai RM35,105 dipercayai cuba diseludup ke negara jiran di pangkalan haram Ibrahim Pencen, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 11.16 malam, anggotanya yang membuat rondaan ternampak sekumpulan lelaki sedang mengangkat kotak ke dalam perahu.

Katanya, anggota menghampiri kumpulan terbabit yang dilihat mencurigakan, namun mereka bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu serta meninggalkan kesemua kotak berkenaan.

"Pemeriksaan ke atas kotak yang ditinggalkan menemui botol perisa vape yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran. Malah, pihak kami difahamkan ia mendapat permintaan tinggi di Thailand.

"Kesemua barangan dirampas dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Lati di Pasir Mas untuk tindakan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.

Menurutnya, penyeludup terbabit menjalankan kegiatan haram ini pada waktu tengah malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, PGA7 tidak pernah leka kerana bertugas 24 jam sehari bagi mengawal sempadan daripada dibolosi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 2:35 PM