M Kumar (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media. FOTO Izz Laily Hussein
M Kumar (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seramai 780 individu termasuk tiga penjawat awam ditahan polis dalam dua operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah yang dijalankan di seluruh negeri ini, Isnin lalu hingga semalam.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas kira-kira 27 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM3 juta.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam Op Tapis Khas yang dijalankan oleh 175 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor, 513 individu diperiksa.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 440 orang ditahan atas pelbagai kesalahan dadah iaitu 55 kes membekal dadah, 65 kes memiliki dadah dan 320 penagih termasuk tiga warga asing.

"Semua tangkapan berusia 18 hingga 70 tahun. Seramai 36 suspek yang ditahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala 49 adalah suspek dikehendaki polis.

"Seramai 30 tokan dadah turut ditangkap dan disiasat di bawah ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. Dua penjawat awam yang ditangkap pula disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana positif urin," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Kumar berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 23.6 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 278.26 gram syabu, 191.38 gram heroin, 210.27 gram ganja, 386.99 pil erimin 5, 997.4 gram ketamin, 17.84 gram pil yaba, 9.5 gram pil ekstasi dan 15 liter air ketum.

Katanya, pihaknya turut menyita tujuh kenderaan serta wang tunai bernilai RM82,314.

Sementara itu, dalam operasi bersepadu bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), 210 pegawai dan anggota kedua-dua agensi menjalankan pemeriksaan ke atas 351 individu di seluruh negeri.

Kumar berkata, daripada jumlah itu, 340 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah iaitu 35 kes bekalan, 56 memiliki dadah dan 249 orang penagih.

"Semua tangkapan berusia 18 hingga 70 tahun dengan enam daripadanya adalah warga asing. Seramai 21 suspek yang ditangkap akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952, manakala 17 adalah orang yang dikehendaki polis.

"Seorang penjawat awam ditahan kerana memiliki dadah dan positif dalam ujian saringan awal air kencing.

"Polis turut merampas pelbagai jenis dadah jenis syabu, heroin, ganja, pil erimin 5, pil ekstasi dan pil yaba dengan berat lebih 550 gram dengan nilai RM39,060 yang mana semua dadah itu boleh digunakan oleh 2,616 penagih dadah," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 6:02 PM