Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Penempatan katil mudah alih di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hanyalah bersifat sementara.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, beliau difahamkan katil mudah alih itu disediakan untuk kemudahan pesakit Covid-19 berehat seketika bagi menunggu giliran sahaja.

"Saya akui ini adalah situasi terburuk berlaku di Malaysia, dulu pun ada yang duduk atas pengusung (kerana tidak cukup katil) tetapi tidak pernah sehingga di ruang luar Jabatan Kecemasan.

"Saya difahamkan, mereka hanya duduk di katil mudah alih itu untuk menunggu giliran (bagi proses seterusnya).

"Mereka menerima rawatan seperti biasa daripada doktor, tidak dibiarkan begitu sahaja, dan hari ini tiada lagi katil berkenaan di situ," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan kit penilaian di rumah kepada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, di sini, hari ini.

Sejak semalam, tular beberapa gambar yang memaparkan pesakit Covid-19 berbaring di atas katil mudah alih di perkarangan HTAR sehingga ke pondok pengawal yang menggemparkan warga maya.

DR Siti Mariah Mahmud (dua dari kiri) ketika penyerahan kit penilaian di rumah kepada CAC di Stadium Melawati, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
DR Siti Mariah Mahmud (dua dari kiri) ketika penyerahan kit penilaian di rumah kepada CAC di Stadium Melawati, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Berdasarkan gambar tular itu, setiap katil mudah alih dialas dengan plastik berwarna biru dan dipercayai kawasan berkenaan dipantau pengawal keselamatan.

Mengulas mengenai perkembangan proses vaksinasi pula katanya, Selangor memerlukan lebih ramai pegawai perubatan sebagai pemvaksin dalam mempercepatkan proses vaksinasi.

Beliau juga difahamkan bagi Julai ini, bekalan vaksin lebih 4 juta dos menerusi PICK akan sampai ke Selangor, justeru penambahan jumlah pemvaksin juga diperlukan seiring dengan jumlah dan kapasiti PPV di negeri ini.

"Dari segi penempatan untuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tiada masalah di Selangor tetapi kita berdepan dengan masalah kekurangan pegawai perubatan sebagai pemvaksin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 9:21 PM