Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju dengan cadangan Felda untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutama bagi generasi awal.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 peneroka.

Selain itu katanya, ia juga merangkumi pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM168 juta, membabitkan 52,180 peneroka.

Muhyiddin berkata, ia juga meliputi pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai 2021, bernilai RM78 juta, membabitkan 38,043 peneroka.

Menurutnya, ia turut meliputi pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM56 juta, yang akan dinikmati 671 peneroka.

"Dengan inisiatif ini, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

"Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1000, kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka.

"Saya berharap dengan usaha yang diambil kerajaan ini, akan menjadi titik tolak atau 'reset button' untuk warga peneroka di seluruh negara menjadi lebih bersemangat dan lebih fokus dalam melipat gandakan hasil serta pendapatan mereka.

"Ini sekali gus bakal mengupayakan pengurusan kewangan termasuk pinjaman mereka dengan lebih berhemat dan tidak lagi membebankan pada masa depan," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2021 secara maya hari ini.


Perdana Menteri berkata, kerajaan juga meluluskan penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion bagi menambah baik model perniagaan Felda.

Katanya, sebahagian terbitan sukuk itu sedang digunakan untuk menstruktur semula pinjaman dengan institusi kewangan serta untuk mengambil alih FGV Holdings Berhad (FGV).

Menurutnya, beliau percaya dengan penstrukturan semula pinjaman terbabit, ia akan mengembalikan fokus Felda terhadap usaha pemerkasaan perniagaan terasnya.

"Persetujuan Kabinet terhadap cadangan Pasukan Khas sebelum ini, juga membolehkan Felda meningkatkan pegangan saham dalam FGV sehingga 81.3 peratus," katanya.

Beliau turut yakin penjayaan program Program Pembangunan Peneroka (PPP) dapat mengurangkan kebergantungan kepada kitaran harga komoditi serta dapat mempelbagaikan sumber pendapatan warga Felda.

Perdana Menteri turut menghargai inisiatif "Sedekah" yang digerakkan warga peneroka di seluruh negara yang berjaya mengumpulkan sehingga RM10 juta setakat ini.

"Jumlah sedekah bukanlah menjadi ukuran, sebaliknya yang lebih penting adalah kesedaran dan kesediaan untuk mengorbankan sedikit harta dan pendapatan bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Kerajaan akan sentiasa komited dalam mendokong usaha murni membantu membangunkan komuniti peneroka Felda. Namun segala inisiatif yang disusun harus sentiasa disambut dan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh sekalian warga Felda dengan semangat dan keazaman yang jitu, agar usaha menaik taraf sosio-ekonomi peneroka dapat terus diperkasakan bagi menjamin masa depan generasi baru peneroka," katanya.

MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama
MUHYIDDIN ketika menyampaikan Perutusan Khas di Bangunan Perdana Putra hari ini. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 4:21 PM