DATUK Seri Mustapa Mohamed. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Seri Mustapa Mohamed. FOTO Asyraf Hamzah
Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling


MODEL tidak mampan dengan kos tinggi pembangunan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) antara faktor menyebabkan projek itu di beberapa kawasan Felda masih gagal disiapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu Dewan Rakyat hari ini, setiap unit rumah berkos RM198,000 namun dijual pada harga RM90,000.

"Masalah dihadapi, (adalah) model ini tidak mampan. Subsidi bagi setiap rumah RM100,000 dan ini perlu ditanggung Felda.

"Namun Pasukan Khas dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar dan pengerusi baharu iaitu Besut (Datuk Seri Idris Jusoh) akan mencari kaedah bagaimana menyelesaikan masalah ini.

"Pasukan ini akan dijangka membentangkan laporan pada Ogos 2020," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Beliau menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai langkah kerajaan memastikan PGBF tidak menjadi projek gajah putih.

Terdahulu, beliau turut bertanya perkembangan pelaksanaan Kertas Putih Felda yang dibentang di Dewan Rakyat pada 10 April 2019.

Menjawab lanjut, Mustapa berkata, setakat ini 4,794 unit kediaman PGBF di 20 lokasi sudah melepasi 70 peratus siap, sebanyak 2,058 unit kediaman di 10 lokasi siap dibina dan mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan atau CCC.

"Baki 2,020 unit kediaman di 6 lokasi dijadual siap menjelang penghujung 2020 serta 716 unit kediaman di empat lokasi yang dijadual siap pada 2021,"

katanya.

Dalam pada itu, katanya, Felda sedang berunding dengan Kementerian Kewangan bagi penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bagi melaksanakan penstrukturan semula pinjaman Felda

"Pasukan khas akan mencari kaedah terbaik memastikan kemandirian dan kemampanan kewangan Felda untuk manfaat warga peneroka.

"Ia mengadakan sesi libat sesi libat urus dengan Lembaga Pengarah Felda, Pengurusan Kumpulan Felda, FGV dan pelbagai kumpulan berkepentingan bagi mendapat pandangan dan maklum balas berkaitan potensi dan penyelesaian isu-isu berkaitan, sebelum laporan dibentangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 2:01 PM