Seramai 102 pesakit terlantar, orang kurang upaya (OKU) dan uzur sudah divaksinasi pada hari pertama Program Vaksinasi Rumah ke Rumah di Hulu Langat, semalam.
Seramai 102 pesakit terlantar, orang kurang upaya (OKU) dan uzur sudah divaksinasi pada hari pertama Program Vaksinasi Rumah ke Rumah di Hulu Langat, semalam.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Seramai 102 pesakit terlantar, orang kurang upaya (OKU) dan uzur sudah divaksinasi pada hari pertama Program Vaksinasi Rumah ke Rumah di Hulu Langat, semalam.

Program itu kerjasama antara Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Yayasan MyNadi.

Presiden NCSM, Datuk Dr Saunthari Somasundaram berkata, pihaknya komited terbabit dalam program itu bagi membantu negara dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sekali gus mencapaikan imuniti kelompok secepat mungkin.

"Kami dapat lihat bahawa bahawa ada ramai individu yang tidak dapat menerima vaksin berikutan tidak upaya untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Lantaran itu, NCSM membantu supaya mereka menerima vaksin dan turut memastikan bahawa pesakit ini termasuk penghidap kanser akan terus mendapat penjagaan dan perawatan yang diperlukan," katanya.

Program itu yang dikawalselia oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan akan diperluaskan secara berperingkat di seluruh negara secepat mungkin.

Sehingga kini, difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan KKM menerima 25,000 pendaftaran vaksinasi daripada golongan berkenaan dan NCSM menjangkakan jumlah itu akan meningkat sehingga lebih 50,000 pendaftaran.

Sementara itu, Presiden MyWATCH Roslizawati Md Ali berkata, pihaknya tampil menyokong usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 menerusi pelbagai cara dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat.

Mereka yang memerlukan bantuan untuk vaksinasi di rumah boleh mendapatkan maklumat lanjut dan memohon menerusi Facebook NCSM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 3:15 PM