KHAIRY pada sidang media Sempena Setahun Pencapaiannya sebagai Menteri Kesihatan. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KHAIRY pada sidang media Sempena Setahun Pencapaiannya sebagai Menteri Kesihatan. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menghargai sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat membantu mempercepatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat negara ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif seperti program vaksinasi dari rumah ke rumah yang digerakkan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) membantu KKM menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Pada waktu itu, memang KKM telah gerakkan jururawat dan doktor untuk laksanakan kempen vaksinasi dari rumah ke rumah, tetapi kami di KKM memang tidak cukup kakitangan.

"NCSM memberikan cadangan untuk libatkan sukarelawan membantu dan kempen ini telah membuahkan hasil apabila NCSM berjaya memberi vaksinasi lebih 150,000 dos," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan NCSM dan pelancaran buku 'From Cancer to Covid' yang dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di sini malam ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Dalam pada itu, Khairy berkata, KKM memberi komitmen untuk bersama-sama NCSM memerangi kanser di negara ini.

"Selepas kita selesai dengan pandemik Covid-19 ini ataupun ia telah terkawal, maka KKM dan NCSM perlu kembali memerangi kanser.

"Saya beri komitmen sepenuhnya dengan NCSM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 12:20 AM