Syaherah Mustafa

Jeli: Enam lelaki yang sedang lalok akibat di bawah pengaruh dadah ditahan dalam serbuan di sebuah pondok di sebuah kawasan terpencil di Kampung Gemang, Ayer Lanas, di sini, semalam.

Susulan tangkapan itu, polis turut merampas pil kuda, syabu, daun serta air ketum bernilai RM6,380.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, dalam serbuan jam 10 pagi itu, enam lelaki termasuk seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Thailand, dan lima warga tempatan berusia 30 sehingga 50 tahun berada di dalam pondok berkenaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek, kami menemui 514 biji pil kuda dan 12 gram syabu, selain 600 milileter (ml) air ketum, selain tiga kilogram daun ketum berdekatan pondok berkenaan.

"Pihak kami percaya pondok ini menjadi 'port' untuk mereka berkumpul dan menagih dadah susulan lokasinya yang jauh daripada penempatan orang ramai," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, di sini, hari ini.

ARIFIN (tengah) menunjukkan pil kuda dan syabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Gemang, Ayer Lanas. FOTO Syaherah Mustafa
ARIFIN (tengah) menunjukkan pil kuda dan syabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Gemang, Ayer Lanas. FOTO Syaherah Mustafa

Ahmad berkata, kesemua mereka didapati positif dadah jenis Metahamphetamine melalui hasil ujian saringan air kencing dan seorang daripada suspek didapati memiliki sebilah pisau lipat ketika tangkapan dilakukan.

"Semakan juga mendapati, kesemua mereka memiliki rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Julai ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2) dan Seksyen (15)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1953, selain Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6(1) Akta BahanKakisan dan Letupan serta Senjata Api 1958.

"Turut disita dua motosikal Honda EX5 dan Modenas Kriss," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 7:15 PM