DATUK Hasanuddin Hassan, (tengah) bersama Ahmad Arifin (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
DATUK Hasanuddin Hassan, (tengah) bersama Ahmad Arifin (kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Syaherah Mustafa


TINDAKAN pemandu lori dan kelindan menyorok 2,000 kilogram (kg) daun ketum serta 100 botol ubat batuk dalam muatan ikan gagal apabila ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Batu Enam, Jalan Raya Timur Barat, Batu Melintang, Jeli, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 pagi, pihak polis merampas 54 biji pil kuda, 0.2 gram syabu dan 1.5 liter air ketum dengan nilai keseluruhan RM21,355.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, anggotanya menahan sebuah lori dari arah Gerik, Perak lalu mengarahkan pemandu berusia 40 tahun dan kelindannya berusia 37 tahun turun untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan, anggota polis menemui satu botol berisi cecair keperangan disyaki air ketum disorokkan di tempat letak kaki kelindan selain turut menemui beg kecil mengandungi pil kuda dan tiub straw berisi syabu di dalam papan pemuka lori terbabit.

"Pemeriksaan di belakang lori pula menemui bungkusan plastik berwarna hitam berisi balutan plastik cerah berikat gelang getah mengandungi daun hijau disyaki ketum dan sebuah kotak dipenuhi botol ubat batuk," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin.

Hasanuddin berkata, kedua-dua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing selain masing-masing mempunyai satu dan lapan rekod jenayah.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 5 Jun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 7:00 PM