ANTARA kawasan terjejas banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANTARA kawasan terjejas banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


HUJAN lebat, sejak semalam, menyebabkan beberapa kampung di Jeli, Tanah Merah dan Machang dinaiki air, sejak tengah malam tadi.

Tiga daerah berkenaan dilanda banjir gelombang kedua yang menyebabkan beberapa kampung dinaiki air separas antara 0.5 sehingga tiga meter (m).

Kampung dinaiki air termasuk Sungai Satan, Jeli Lama, Ayer Lanas, Gemang, Kalai, Batu Melintang dan Gunung Reng di Jeli.

Di Tanah Merah, Kampung Lawang, Kulim dan Batang Merbau.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 11 pusat pemindahan sementara (PPS) sejak 12.30 tengah malam tadi menempatkan 939 mangsa daripada 340 keluarga.

PPS berkenaan dibuka tujuh di Jeli, tiga di Tanah Merah dan satu di Machang.

Antara PPS dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1; SK Kalai; SK Legeh; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas; Dewan Kesedar dan Awam, PASTI Sungai Satan; Dewan KESEDAR/ PASTI Bukit Lakota dan Masjid Gemang di Jeli.

Di Machang, SK Lawang; SK Kulim dan SK Batang Merbau di Tanah Merah serta Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Hwa.

Mangsa banjir dari Kampung Ayer Lanas, Siti Nor Akma Ahmad, 29, air naik mendadak bermula jam 1 pagi sehingga rumahnya dinaiki air separas tiga m atau tinggal bumbung sahaja.

Katanya, dia bersama ibu bapa, suami dan empat anak berusia antara dua sehingga 10 tahun berpindah ke PPS di Ayer Lanas pada 3 pagi tadi.

“Kami tidak sempat menyelamatkan perabot, barangan elektrik, baju sekolah anak, buku teks dan peralatan sekolah yang sudah dibeli memandangkan air naik mengejut.

“Banjir awal bulan lalu, hanya halaman rumah kami dinaiki air dan kami tidak berpindah ke PPS. Tetapi kali ini air naik dengan cepat sehingga kami tidak dapat memindahkan barangan dalam rumah.

“Malam tadi, kami hanya mahu menyelamatkan diri berpindah ke PPS dengan menaiki bot milik abah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hujan masih lebat, namun harapannya supaya paras air surut dengan cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 8:59 AM