DR Zulkifli menyampaikan sumbangan secara pandu lalu di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
DR Zulkifli menyampaikan sumbangan secara pandu lalu di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Kerajaan sudah membelanjakan lebih RM700 juta melalui pelbagai agensi bagi membantu meringankan beban rakyat di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya melalui pelbagai agensi sentiasa turun padang membantu rakyat yang terkesan dipanggil Musaadah 3.0 bagi meringankan beban rakyat.

"Bukan sahaja di Negeri Sembilan, kami turut memberikan sumbangan kepada mereka yang terkesan di seluruh negara melalui pelbagai agensi khususnya di bawah kementerian (di bawah) saya.

"Kita (Kementerian) juga ada berbagai 'Foodbank' terutama di Kuala Lumpur bagi memberikan sumbangan terus kepada rakyat untuk mereka yang terkesan selepas hilang pekerjaan," katanya selepas mengadakan kunjungan di tiga rumah bertujuan menyampaikan sumbangan barangan dapur serta wang tunai di Kampung Tanjung Agas, Pasir Panjang di sini, tadi.

Katanya, pihaknya juga melalui pelbagai agensi sentiasa turun padang di seluruh negara dan berhasrat mengadakan aktiviti ini secara bulanan.

"Kami juga mahu bina kembali usahawan-usahawan yang terkesan secara langsung agar mereka boleh beroperasi seperti biasa sebelum datangnya bencana Covid-19.

"Semalam saya ada bertemu dengan beberapa wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kami berbincang bentuk bantuan bakal berikan kepada rakyat Malaysia dan penduduk Gaza, Palestin," katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya sentiasa berkoloborasi bersama beberapa agensi khususnya Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam dan lain-lain agensi yang menyalurkan bantuan.

"Ziarah seperti ini dipanggil 'Inspirasi Kasih'. Kami mengunjungi mereka yang tidak sihat, anak-anak kategori Orang Kurang Upaya (OKU) yang pastinya mereka terkesan ketika ini yang kita sentiasa memberi bantuan dari masa ke semasa.

"Ada 14 agensi di bawah (Kementerian) yang sentiasa bergerak untuk memudahkan rakyat tanpa mengira waktu dan hari demi kemudahan rakyat.

"Kami turun di semua tempat hingga ke perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah bagi menyampaikan bantuan, hampir keseluruhan tempat di Negeri Sembilan malah seluruh negara," katanya.

Dr Zulkifli turut menyampaikan sumbangan pandu lalu kepada beberapa penduduk di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beliau mahu rakyat mengikut prosedur operasi standard (SOP) untuk majlis korban sempena hari raya Aidiladha nanti.

"Majlis korban di bawah Majlis Agama Islam di negeri masing-masing di bawah muzakarah majlis fatwa kebangsaan yang membenarkan hanya lima ekor sahaja untuk sehari dan ia dikawal selia mengikut SOP yang dibenarkan di rumah sembelih atau di kediaman yang dibenarkan.

"Daging binatang itu juga akan diagihkan kepada mereka yang yang memerlukan. Ia bukan sahaja yang ada mengibarkan bendera putih kerana kita bantu tetapi semua yang terkesan kita bagi sumbangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • GAMBAR

    1. PORT DICKSON 3 JULY 2021 (.) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika melawat sebuah keluarga yang mana tiga daripada empat anaknya OKU lembam di Kampung Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson. STR/ MOHD KHIDIR ZAKARIA

    2. PORT DICKSON 3 JULY 2021 (.) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika melawat keluarga yang susah di Kampung Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson. STR/ MOHD KHIDIR ZAKARIA

    3. PORT DICKSON 3 JULY 2021 (.) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan sumbangan secara pandu lalu di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang, Port Dickson. STR/ MOHD KHIDIR ZAKARIA

    Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 5:37 PM