TINJAUAN di Taman Bukit Angkasa yang dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 14 Julai. FOTO Hazreen Mohamad.
TINJAUAN di Taman Bukit Angkasa yang dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 14 Julai. FOTO Hazreen Mohamad.

Kuala Lumpur: Hanya seorang sahaja wakil isi rumah yang dibenarkan membeli barang keperluan asas di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Selangor, bermula Sabtu ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan pelaksanaan PKPD itu, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta tiada pergerakan dibenarkan selepas 8 malam kecuali kecemasan yang dengan kebenaran.

Katanya, wakil isi rumah juga hanya boleh membeli barang dalam radius 10 kilometer (km) dari kediaman dan Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan Covid-19 bersasar ke atas semua penduduk yang terbabit.

"Jawatankuasa penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan juga memberi jaminan bahawa program pemberian vaksin akan dipertingkat dan dipergiatkan di kawasan yang terbabit.

"Untuk itu, pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal adalah dibenarkan, dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS.

"Dalam pada itu, hanya sektor perkhidmatan perlu (essential services) sahaja dibenarkan untuk beroperasi mulai jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam, seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan, manakala kilang yang mendapat kelulusan pengoperasian adalah kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih (loaf), gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu (essential services) atau menjalankan tugas rasmi Kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah sahaja, justeru pekerja selain perkhidmatan itu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD.

"Majikan dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah. Pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang-kilang serta premis perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat MITI yang telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, SOP penuh bagi PKPD di kawasan itu boleh dirujuk di laman sesawang MKN di https://www.mkn.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    PKPD di Selangor, KL mulai Sabtu ini

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:59 PM