ANGGOTA PDRM dan Bahagian Keselamatan UTM memasang kawat besi berduri di pintu pagar berikutan PKPD akan dilaksanakan di UTM Skudai, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANGGOTA PDRM dan Bahagian Keselamatan UTM memasang kawat besi berduri di pintu pagar berikutan PKPD akan dilaksanakan di UTM Skudai, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Semua pintu keluar masuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini, mula dipasang kawat berduri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), di universiti awam itu mulai esok hingga 3 Jun nanti.

Tinjauan mendapati anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Keselamatan UTM memasang kawat besi berduri itu sejak pagi tadi.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, pelajar tidak dibenarkan keluar kampus serta-merta selepas pengumuman pelaksanaan PKPD akan dilaksanakan di universiti itu, bermula esok.

Katanya, staf diminta untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh itu dan hanya staf Pusat Kesihatan Universiti dibenarkan untuk bertugas dari kampus.

"Pintu pagar utama hanya akan dibuka sehingga jam 5 petang hari ini untuk sebarang urusan penutupan pejabat.

"Pelajar tidak dibenarkan keluar dari kampus berkuat kuasa serta-merta. Perkhidmatan penghantaran makanan sehingga jam 10 malam, hari ini sahaja.

"Kawalan pergerakan terdahulu kepada tiga kolej iaitu Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dan Kolej Tun Hussien Onn (KTHO) akan dilanjutkan sehingga hari ini.

"Bagaimanapun, bermula esok hingga 3 Jun keseluruhan kampus UTM Johor merangkumi ketiga-tiga kolej berkenaan adalah tertakluk kepada arahan PKPD di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hanya pintu pagar utama universiti (Pintu 1) sahaja yang akan digunakan sepanjang PKPD.

Katanya, staf yang bertugas dalam 'essential services' perlu tinggal di dalam kampus selama tempoh PKPD berkenaan.

Kafeteria dan kedai di dalam kampus dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam, hari ini dan akan ditutup sepanjang PKPD.

Bermula esok, kawalan di kampus akan diambil alih sepenuhnya oleh MKN. Segala keperluan dan kebajikan staf serta pelajar yang tinggal di dalam kampus akan diuruskan oleh MKN.

Semalam, dalam kenyataan media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan kampus UTM akan dilaksanakan PKPD selaras dengan Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 3:00 PM