Mohd Amin Jalil


Seremban: Dua pegawai Imigresen yang ditahan dalam Op Selat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM15,500 daripada orang tengah bagi melepaskan rakyat asing daripada sebarang tindakan.

Kedua-dua tertuduh, Mohamad Izhmi Mohamad Nor, 35, dan Muhammad Ali Mohammed Redzwa, 27, yang juga Pegawai Imigresen Gred KP19 di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) Sepang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Tertuduh pertama, Mohamad Izhmi didakwa atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM10,000 daripada Mohamad Jeffry Mohd Zin sebagai orang tengah dan dia mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai Burger Aboi, Kampung Jijan Nilai pada Oktober 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pilihan, Mohamad Izhmi didakwa di lokasi dan tarikh sama diberikan suapan RM10,000 oleh orang tengah bagi melepaskan warganegara Indonesia daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh gagal melaporkan suapan diberikan kepada SPRM dan didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, tertuduh kedua, Muhammad Ali didakwa atas empat pertuduhan menerima wang keseluruhan berjumlah RM5,500 daripada Zul Anishaffizie Zakaria sebagai orang tengah melalui empat transaksi berasingan iaitu tiga ke akaun bank milik isterinya dan satu ke akaun individu lain di Maybank Islamic Berhad Cawangan Nilai antara 30 Disember 2017 hingga 1 Disember 2019.

Tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja rasminya dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Muhammad Ali turut didakwa atas empat pertuduhan pilihan dimana dia sebagai pegawai Imigresen di lokasi, masa dan tarikh sama didakwa diberikan wang suapan berjumlah RM5,500 daripada orang tengah bagi membantu melepaskan warga asing tanpa melalui proses dan prosedur yang betul.

Pegawai Imigresen, Mohamad Izhmi Mohamad ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menerima rasuah. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Pegawai Imigresen, Mohamad Izhmi Mohamad ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menerima rasuah. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Dia didakwa melakukan kesalahan itu yang melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 untuk melaporkan kesalahan pemberian wang berkenaan kepada SPRM mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhamad Izhmi dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Muhammad Ali pula dibenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh pertama diwakili peguam, Mohamad Zahid Ahmad dan tertuduh kedua diwakili peguam, Hidayah Muslimah.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 23 Ogos depan.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menjalankan operasi khas dengan kerjasama Jabatan Imigresen pada 16 November 2020 berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan

utama negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 2:37 PM