Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ditahan melalui Op Selat bulan lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima suapan daripada ejen pekerja asing.

Tertuduh pertama, Azhar Ahmad M Salbi, 27, dipenjara 12 bulan dan didenda RM20,000 selepas mengaku salah menerima rasuah RM1,250 daripada ejen terbabit dua tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan berkenaan terhadap tertuduh yang juga Pegawai Imigresen Gred KP19, selepas dia mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan.

Kamarudin turut memerintah tertuduh dikenakan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Azhar yang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, didakwa diberikan suapan RM1,250 daripada dua individu yang juga ejen yang menguruskan pekerja warga asing sebagai balasan bagi mendapatkan perakuan cop keluar masuk pada pasport warga asing tanpa perlu keluar dari Malaysia.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank tempatan di Jalan Genuang, Segamat, antara 20 Februari dan 9 April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) dan 25(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Azhar Ahmad yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda berikutan beliau mempunyai tanggungan yang ramai.

"Yang Arif, saya mohon hanya didenda kerana isteri sedang sarat mengandung. Saya juga perlu menanggung ibu saudara yang juga ibu tunggal menderita strok selain ibu mentua yang disahkan menghidap barah payudara," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun memohon hukuman berat dikenakan berikutan ia kesalahan serius membabitkan keselamatan negara.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Syafik Abu Khalipah, 25, mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan menerima rasuah RM24,395 daripada dua ejen sama.

Ia bagi memberikan cop sama, menerusi akaun bank tempatan di Larkin Perdana di sini, antara 22 Oktober tahun lalu dan 22 September lalu.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syafik turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan menerima RM21,275 bagi memberikan cop sama, menerusi akaun bank sama, antara 22 Oktober dan 29 Disember tahun lalu dan RM3,120 bagi memberikan cop sama menerusi akaun bank sama, antara 20 Februari lalu dan 22 September lalu.

Dua pegawai Imigresen Johor  tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Dua pegawai Imigresen Johor tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED

Dia didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama.

Pendakwaan turut dikendalikan Suhaili manakala tertuduh diwakili peguam K Kalaicelvan dan G Kamala.

Kamarudin memerintahkan tertuduh dijamin RM40,000 dengan seorang penjamin, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh perlu melapor diri sekali sebulan di balai polis berdekatan.

Kamarudin turut menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pada 16 November lalu, SPRM menjalankan satu operasi khas dengan kerjasama Jabatan Imigresen yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 1:17 PM