GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Satu daripada tiga laluan masuk utama di daerah ini yang ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di 15 mukim bermula 22 Mei lalu kembali dibuka, hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, laluan di Jambatan Seberang Kastam ke Kuala Besut itu dibuka kepada semua kenderaan bermula 9.30 pagi.

"Setakat ini, Bulatan Kampung Lampu menghala ke Jalan Seberang Jerteh dan laluan bertentangan yang kedua-duanya terletak di Kampung Nangka masih ditutup.

"Walaupun status PKPD berubah kepada PKP 3.0, namun penduduk masih perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan 15 mukim di daerah ini terbabit dengan pelaksanaan PKPD ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bembam, Tenang dan Hulu Besut.

Pelaksanaan PKPD terpaksa dilakukan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di lokaliti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 5:29 PM