SEKATAN jalan dilakukan di pintu masuk kawasan PKPD di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Mukim Pelagat, Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
SEKATAN jalan dilakukan di pintu masuk kawasan PKPD di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Mukim Pelagat, Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Sepuluh keluarga yang meninggalkan rumah masing-masing sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Mukim Pelagat, Besut, di sini, bermula semalam berjaya dikesan semula.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, tindakan penduduk terbabit secara tidak langsung boleh mendatangkan risiko dengan menularkan wabak Covid-19 ke tempat lain.

Katanya, PKPD dilaksanakan di kawasan itu sehingga 27 Mei ini untuk memastikan semua komuniti melakukan saringan awal selepas 54 kes positif Covid-19 datang dari kawasan Pelagat 3 ini.

"Kita tidak mahu mereka membawa virus Covid-19 ke komuniti lain dan rantaiannya perlu diputuskan segera supaya tidak berdepan dengan kluster lebih besar.

"Sehingga hari ini, Besut melaporkan sebanyak 1,094 kes positif Covid-19 dan tertinggi di Terengganu. Bilangan kes aktif pula seramai 393 orang dengan angka kematian sebanyak 11 orang," katanya ketika ditemui meninjau kawasan PKPD di RAKR Pelagat 3, Mukim Pelagat, Besut, di sini, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, sebanyak 11 kluster sedang dipantau di Besut dengan Kluster Tok Has adalah kluster terbesar iaitu jumlah kes seramai 204 orang diikuti Kluster D'Lahar dengan jumlah kes sebanyak 151 orang.

Katanya, masyarakat perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengehadkan pergerakan dan mengelakkan diri daripada menyertai aktiviti berkumpul beramai-ramai.

"Jika tiada urusan penting, sila duduk di rumah untuk mengurangkan risiko dijangkiti virus Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 8:30 PM