SHAFRUDDIN Ali Hussin (kanan) turut membersihkan sekolah terjejas banjir di SMK Bukit Payong, di Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
SHAFRUDDIN Ali Hussin (kanan) turut membersihkan sekolah terjejas banjir di SMK Bukit Payong, di Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Sejumlah 10 sekolah di daerah Besut terjejas akibat banjir menerima sumbangan RM2,000 setiap sekolah daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO).

Ketua Nazir Sekolah menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Shafruddin Ali Hussin berkata sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan yayasan terhadap sekolah dilanda banjir.

Katanya, daripada jumlah itu sembilan sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah menengah agama yang terbabit di daerah itu.

"Antara sekolah berkenaan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Air Terjun, SK Keruak, SK Bukit Jeruk, SK Bukit Kenak, SK Oh, SK Pusat Jertih, SK Tok Dor dan SK Alor Lintah.

"Seterusnya SJKC Chung Hwa serta SMA Ittifakiah," katanya ketika mewakili YGTHO menyampaikan sumbangan kepada sekolah terbabit di SMK Bukit Payong, di sini, hari ini.

Katanya, selain menyampaikan sumbangan seramai 50 sukarelawan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Kementerian Pendidikan Malaysia (MESCA) turut sama terbabit dengan operasi pembersihan sekolah.

"Pasukan sukarelawan ini terdiri daripada pegawai-pegawai bahagian dan jemaah nazir ibu pejabat dan negeri.

"Bagi melaksanakan operasi pembersihan hari ini, pasukan dibahagikan kepada dua iaitu kerja pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong dan SK Seri Payong.

"Kerja-kerja pembersihan itu dilakukan untuk membolehkan operasi sekolah berjalan seperti biasa apabila sekolah dibuka nanti," katanya.

Shafruddin berkata, sekolah terjejas banjir di daerah Besut dibahagikan kepada tiga kategori.

"Kategori satu (sangat kritikal) membabitkan tujuh sekolah iaitu SK Kampung La, SK Seri Payong, SK Pusat Jertih, SK Tembila, SMK Bukit Payong, SMK Putra serta SMA Ittifakiah.

"Kategori dua (kritikal) membabitkan lapan sekolah iaitu SK Kampung Nangka, SK Keruak, ,SK Darau, SK Pasir Akar, SK Alor Lintah, SK Anak Ikan, SK Tok Dor serta SJKC Chung Hwa," katanya.

Tambah beliau, bagi kategori ketiga kurang kritikal membabitkan 10 sekolah iaitu SK Kampung Baru, SK Lubuk Kawah, SK Bukit Jeruk, SK Nyiur Tujuh, SK Oh, SK Bukit Kenak, SK Air Terjun, SK Alor Keladi, SMK Seri Nering serta SMK Pelagat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 3:15 PM