Gambar fail, anggota polis dan tentera memasang kawat duri di kawasan dikenakan PKPD. FOTO NSTP.
Gambar fail, anggota polis dan tentera memasang kawat duri di kawasan dikenakan PKPD. FOTO NSTP.
Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Tiga kawasan termasuk institusi pendidikan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masing-masing di Pahang, Terengganu dan Perak.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan itu ialah Mukim Tras, Raub, Pahang; Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Mukim Pelagat, Besut, Terengganu dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu, Hulu Perak, Perak.

"PKPD di Mukim Tras dan MRSM Pengkalan Hulu akan bermula pada 13 hingga 26 Mei manakala PKPD di Mukim Pelagat bermula 14 hingga 27 Mei ini.

"Selain itu, PKPD di Mukim Tras membabitkan Kampung Baru Tras, Kampung Sungai Cheetang dan Kampung Sang Lee apabila 17 kes positif Covid-19 direkodkan sehingga kini.

"Selain itu, PKPD di Mukim Pelagat dilaksanakan susulan 52 kes positif Covid-19 direkodkan hasil 86 ujian saringan kepada penduduk di lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 91 kes positif Covid-19 direkodkan di MRSM Pengkalan Hulu selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan 547 ujian saringan terhadap penghuni maktab berkenaan.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga melanjutkan tempoh PKPD di lima penempatan sekitar Sungai Klau, Raub, Pahang bermula 13 hingga 26 Mei ini berikutan masih berlaku penularan kes positif di kawasan itu.

"Kerajaan turut memutuskan untuk menamatkan PKPD di dua penempatan sekitar Sungai Chalit, Raub, Pahang dan Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan selepas tiada lagi jangkitan kes aktif," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 7:41 PM