Antara pekerja kilang getah di Baling yang sedang menunggu untuk melakukan ujian saringan COVID-19. Foto Ihsan PDRM
Antara pekerja kilang getah di Baling yang sedang menunggu untuk melakukan ujian saringan COVID-19. Foto Ihsan PDRM
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kilang produk getah di Baling diarahkan tutup selepas dua pekerja asing dan seorang pekerja tempatan dikesan positif Covid-19 hasil ujian awal Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag) yang dijalankan pihak majikannya pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, keputusan menutup kilang itu diambil selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama pengurusannya.

Menurutnya, pihak pengurusan kilang bersetuju dengan cadangan berkenaan dan mereka sudah memaklumkan kepada Pegawai Daerah Baling berhubung penutupannya.

"Saya difahamkan pada hari ini, Majlis Daerah Baling (MDB) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Baling akan mengadakan satu perbincangan mengenai status penutupan kilang berkenaan.

"Pihak polis juga melakukan tinjauan di tempat kediaman pekerja warga asing serta memberi nasihat dan amaran supaya mereka dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak keluar rumah bagi mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin, berkata PKD sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini dan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sudah dilakukan ke atas ketiga-tiga pekerja terbabit bagi menentukan kesahihan jangkitan.

Menurutnya, pihak kilang juga sudah mengambil inisiatif dengan menempatkan ketiga-tiga pekerja itu di rumah berasingan dengan pekerja lain sementara menunggu pengesahan ujian Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pada 18 Jun lalu, pihak majikan kilang terbabit melakukan ujian saringan kepada 16 orang pekerjanya yang merupakan kontak rapat kepada seorang pekerja warga Bangladesh yang dikesan positif Covid-19 melalui ujian RTK-Ag.

"Ujian berkenaan membabitkan tiga buah rumah pekerja dan keputusannya dua pekerja didapati positif Covid-19 iaitu seorang pekerja tempatan dan seorang pekerja warga asing.

"Keesokannya, majikan berkenaan mengambil tindakan segera dengan mengadakan ujian saringan terhadap kira-kira 200 orang pekerjanya di sebuah klinik swasta di Kuala Ketil," katanya.

Menurutnya, kilang terbabit sudah beroperasi kira-kira 24 tahun dan ia merupakan kali pertama pekerja kilang berkenaan disahkan positif Covid-19.

"Syarikat ini beroperasi di sektor pembuatan produk getah dan mempunyai sejumlah 265 orang iaitu 171 merupakan pekerja tempatan dan selebihnya pekerja warga asing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 2:44 PM