Gambar hiasan, pasukan pemantauan dan penguatkuasaan Covid-19 MITI menampal notis tutup premis selepas kilang menyalahguna surat kebenaran operasi. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan, pasukan pemantauan dan penguatkuasaan Covid-19 MITI menampal notis tutup premis selepas kilang menyalahguna surat kebenaran operasi. FOTO Arkib NSTP.
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Ada kilang di daerah ini bukan hanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan beroperasi secara haram, malah menyebabkan berlakunya peningkatan jangkitan kes Covid-19 tempatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, menerusi operasi pemantauan yang dibuat, pihaknya juga mengesan kilang yang menyalahguna surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi.

"Mereka menunjukkan surat MITI kononnya dibenar beroperasi sebab mengeluarkan pelitup muka yang antara barang keperluan, namun apabila diperiksa, kita dapati mereka adalah kilang yang mengeluarkan pakaian renang.

"Ada juga kilang yang mengeluarkan arang kayu dan bahan kitar semula logam yang semuanya industri tidak dibenarkan beroperasi," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Adzli berkata, sejak 1 Jun lalu, pihaknya sudah memeriksa 43 kilang dan daripada itu 10 kompaun dikeluarkan ke atas perindustrian melanggar SOP.

Selain itu, katanya, 275 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan ke atas individu ingkar SOP sejak 1 Mei lalu, antaranya kerana berkumpul di tempat awam, minum arak, parti liar, kenduri, mengadakan majlis cukur jambul, merentas negeri tanpa kebenaran dan tidak memakai pelitup muka.

Beliau memberitahu, jumlah terkini semua kompaun dikeluarkan hampir RM1 juta dan semua pihak diingatkan supaya mematuhi arahan dan patuh SOP bagi mengekang penularan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 9:46 AM