GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari


Kampar: Sebanyak 32 kilang diperiksa sepanjang operasi bersepadu membabitkan sektor perkilangan bersama tiga agensi di daerah ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sehingga PKP 3.0 dilaksanakan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, dalam tempoh berkenaan polis mengeluarkan sebanyak 19 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKP.

'Kesalahan tertinggi yang dikesan ialah sepuluh kompaun dikeluarkan kerana pekerja tidak memakai pelitup muka dan empat kes kapasiti pekerja melebihi 60 peratus.

"Masing-masing satu kompaun kerana gagal mengimbas MySejahtera, tidak menyediakan pengimbas suhu, beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), pekerja asing gagal menjalankan ujian pengesanan Covid-19 dan majikan gagal menyediakan QR Code Mysejahtera dan buku kehadiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasron Nazri berkata, selain itu, dalam tempoh sama polis turut menahan tiga pekerja asing.

Menurutnya, satu kompaun dikeluarkan di bawah Majlis Daerah Kampar (MDKpr) kerana pekerja gagal memakai pelitup muka dan satu kompaun dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) kerana kapasiti pekerja lebih 60 peratus.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak tiga kilang di kawasan Mambang Diawan diperiksa dalam operasi pemantauan pematuhan SOP PKP Sektor Perkilangan hari ini.

Menurutnya, operasi bermula 10 pagi itu membabitkan kekuatan seramai 19 pegawai dan anggota polis.

"Dua daripada kilang yang diperiksa dikenakan kompaun di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana pekerja gagal memakai pelitup muka dan kapasiti pekerja melebihi 60 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 8:24 PM