GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Dua pengurus kilang masing-masing dikompaun RM10,000 kerana tidak mematuhi syarat pengoperasian Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (Miti) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hari ini.

Mereka ditahan pada serbuan berasingan di dua kilang di daerah ini.

Turut ditahan seorang lelaki warganegara Myanmar kerana tidak mengimbas aplikasi My Sejahtera ketika memasuki sebuah daripada kilang itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pada operasi jam 11.50 pagi, Deputi Superintendan Abang Kaderi Awang Wasli bersama anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah ke sebuah kawasan perindustrian di Taman Saga di sini, untuk melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, pengurus kilang pembungkusan itu ditahan dan dikompaun kerana tidak mengikut syarat operasi yang dibenarkan oleh Miti.

"Dia dikompaun mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

"Turut ditahan seorang warga Myanmar kerana tidak mengimbas aplikasi My Sejahtera ketika masuk bekerja di kilang itu. Dia disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan/Peraturan PPDPPB," katanya.

Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Adzli berkata, pada serbuan berasingan di sebuah kilang jam 12.30 tengah hari, anggota IPK Kedah yang diketuai Deputi Superintendan Johari Yahaya mengeluarkan kompaun terhadap pemilik sebuah kilang di Taman Cendana di sini, kerana tidak mengikut syarat operasi yang dikeluarkan oleh Miti.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kilang itu dipercayai menjalankan pembuatan peralatan dan pakaian renang.

"Berikutan itu, pemilik kilang itu dibawa ke IPD Kuala Muda dan dikompaun RM10,000 kerana melanggar syarat PKP 3.0.

"Dia dikompaun mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:08 PM