Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Seorang pelayan restoran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana gagal memberi keterangan memiliki 58 pakaian dalam.

Tertuduh, Ong Kok Thye, 23, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Barath Manian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang berasal dari Kuala Sepetang, Selangor didapati memiliki 58 helai pakaian wanita iaitu seluar dalam, baju dalam dan seluar pendek yang mana tidak dapat memberi keterangan yang memuaskan bagaimana barang itu diperolehi.

Kok Thye didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Jun lalu kira-kira 12.15 tengah hari di Condo Ridzuan, Jalan PJS10/24, Dataran Mentari, Petaling Jaya.

Dia dituduh melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Zafirah Syed Mustapa manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan juga penjamin.

TERTUDUH didakwa memiliki 58 helai pakaian wanita dan tidak dapat memberi keterangan yang memuaskan bagaimana barang itu diperolehi. FOTO Aizuddin Saad
TERTUDUH didakwa memiliki 58 helai pakaian wanita dan tidak dapat memberi keterangan yang memuaskan bagaimana barang itu diperolehi. FOTO Aizuddin Saad

Zafirah menawarkan wang jaminan RM1,000 kepada tertuduh.

Majistret membenarkan jaminan RM1,000 kepada tertuduh dan menetapkan 9 September ini tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 1:53 PM